Guru wanita maut ketika hantar kertas jawapan UPSR 2018

Beginilah keadaan kereta yang dinaiki mangsa bersama rakannya.

LAWAS, Sept 27: Seorang guru wanita maut, manakala rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terbakar di Jalan Bukit Suling di sini hari ini.

Lebih memilukan, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, kedua-dua guru terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan menghantar kertas jawapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 ke Wisma Persekutuan di sini dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Trusan.

Mangsa merupakan pengawas bagi peperiksaan tersebut dan dikatakan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Awat-Awat Lawas.

Jurucakap polis berkata, mangsa, Arrzahara Affendi, 28, disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Lawas pada pukul 2.20 petang.

Katanya, sebelum itu, mangsa bersama rakan setugas berusia 24 tahun dikatakan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.


“Namun, malang menimpa mereka apabila tiba di lokasi kejadian kereta yang dipandu guru lelaki dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbakar.

“Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan dikatakan mengalami kecederaan parah ekoran nahas tersebut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap polis menambah, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun katanya, selepas hampir dua jam menerima rawatan, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily