Kes ‘Macau Scam’ terus menjadi di Sarawak, mangsa terbaharu kerani rugi RM204,400

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

MIRI, Okt 20: Entah mengapa kes penipuan ‘Macau Scam’ semakin menjadi-jadi di Sarawak dengan kes terbaharu melibatkan seorang kerani wanita yang kerugian RM204,400.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima daripada mangsa yang berusia 62 tahun itu, kejadian tersebut berlaku antara 6 Sept hingga 19 Okt.

Menurutnya, mangsa mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri daripada Sarjan Tan yang menggunakan talian 07-22554422.

“Suspek kemudian memberitahu mangsa ada mempunyai kesalahan menerima duit Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM5,000.

“Suspek juga menyatakan yang mangsa ada menerima duit daripada ‘Mr Gama’ sebanyak RM50,000 untuk dibahagikan kepada 10 orang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, mangsa yang panik diugut dan akan ditahan kemudian bertindak memindahkan sejumlah wang kepada suspek untuk membantu kononnya bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Katanya, pada 7 Sept lepas kira-kira pukul 12 tengah hari bertempat di Public Bank, mangsa telah membuat pemindahan duit sebanyak RM11,200 ke akaun bank suspek.

“Dua hari selepas itu, mangsa masih menerima panggilan daripada Sarjan Yap dengan menggunakan talian 014-9986870 dan meminta mangsa sekali lagi membuat pemindahan wang berjumlah RM56,000 ke akaun banknya.

“Seterusnya, mangsa menerima pula panggilan daripadanya seorang lelaki dengan nama Mr Jason kononnya dari Jabatan Audit Negara dan meminta mangsa membuat pemindahan wang sebanyak RM55,000,” ujarnya.

Mustafa menambah, namun ketika itu mangsa memberitahu tidak mempunyai wang dan telah memaklumkan kepada suspek yang dirinya mempunyai duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, suspek terus menyuruh mangsa membuat pembayaran sebanyak RM100,000 ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) suspek.

“Mangsa masih terus berhubung dengan suspek dan suspek masih meminta duit wanita berkenaan kononnya untuk menyelesaikan kes mangsa yang masih belum selesai.

“Mangsa kemudian membuat pemindahan duit sebanyak RM17,200 ke dalam akaun suspek sebelum wanita tersebut melakukan pinjaman dan sekali lagi membuat pemindahan wang sebanyak RM20,000 kepada suspek,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. — DayakDaily