Kes jenayah di Meradong menurun, tangkapan kes dadah meningkat

Sekam (tengah) semasa sidang media tersebut hari ini (9 Ogos 2022).

MARADONG, 9 Ogos: Kes jenayah di daerah ini menurun sebanyak 76 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Maradong DSP Sekam Anoi berkata pada tahun lepas sebanyak 21 kes direkodkan berbanding hanya lima kes pada tahun ini.

Katanya, sebanyak 15 kes kecurian dicatatkan pada tahun lepas, serta masing-masing satu kes samun tanpa senjata, kes mendatangkan kecederaan serta curi motosikal dan tiga lagi kes pecah rumah.


“Manakala pada tahun ini kes curi, kes mendatangkan kecederaan serta samun tanpa senjatapi masing-masing satu kes dan dua lagi kes pecah rumah,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Untuk kes jenayah narkotik pula, Sekam memberitahu tangkapan suspek telah meningkat daripada 26 kes pada tahun lepas kepada 53 kes pada tahun ini.

“Bagi rampasan dadah jenis methamphetamine meningkat daripada 1.71 gram pada tahun lepas kepada 371.6 gram pada tahun ini,” katanya.

Justeru beliau mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang banyak menyalurkan maklumat berkualiti kepada pihak polis.

“Kita mohon masyarakat agar terus menyalurkan maklumat kepada polis serta bersama-sama menjaga harta benda masing-masing,” katanya.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ketua Bahagian Pengurusan IPD Meradong Inspektor Sawandi Brahim dan Pegawai Penyiasa JSJ IPD Meradong Inspektor Merodolyin Marikus. ā€” DayakDaily