Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri di Kuching pada 13 Ogos

Poster promosi Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak.

KUCHING, 9 Ogos: Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak bakal dilancarkan pada 13 Ogos 2022 di Tebingan Kuching oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Majlis pelancaran merupakan kesinambungan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang telah dilancarkan pada 30 Julai yang lalu oleh Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob.

Bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, aktiviti utama yang telah dirangka adalah program ‘Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia’, pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM2022) dan penyerahan Jalur Gemilang.

Program ‘Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia’ akan dipimpin oleh Abang Johari berkonsepkan aktiviti berjalan kaki beramai-ramai dalam suasana kekeluargaan, santai dan diraikan dalam suasana yang harmoni sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Pelepasan KMKM2022 pula berkonsepkan ‘Pass Baton’ dari Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Konvoi melibatkan penyertaan daripada Jabatan Penerangan Sarawak (JaPen), agensi-agensi di bawah K-KOMM, agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, rakan strategik JaPen Sarawak dan wakil Komuniti Keluarga Malaysia.

Konvoi KMKM2022 akan meneruskan perjalanan konvoi yang bermula pada 10 Ogos di Kilometer (KM) 0.00, Telok Melano hingga Lawas dan kembara diteruskan ke 37 perhentian di daerah lain.

Ia melibatkan jarak perjalanan kira-kira 4,025 kilometer sebelum mengakhiri perjalanan konvoi KMKM2022 pada 31 Ogos 2022 di Betong bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak.

Pada program pelancaran nanti pelbagai aktiviti menarik di Tebingan Sungai Kuching turut diadakan dan antaranya program Zumba Keluarga Malaysia, permainan Dam Ular Gergasi serta Kuiz.

Orang ramai juga boleh bersama-sama menzahirkan rasa cintakan negara melalui platform media sosial dengan berkongsi gambar berkaitan aktiviti kenegaraan sambil menyertakan hashtag (#) #KeluargaMalaysiaTeguhBersama #TeguhBersama #KeluargaMalaysia #KKOMM #HKHK2022 #Merdeka360 di laman media sosial masing-masing. — DayakDaily