Kerjasama REDEEMS dan Kerajaan Sarawak bangunkan Kampung Budaya Bidayuh — Sagah

Abang Johari (tiga kiri) menerima cenderamata daripada Nansian.

BAU, 14 Jan: Kampung Budaya Bidayuh diwujudkan hasil kerjasama erat Persatuan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai (REDEEMS) dan Kerajaan Sarawak.

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah, ia bukan sahaja untuk manfaat kaum Bidayuh tetapi untuk semua kaum.

“REDEEMS tanpa bantuan kerajaan tidak akan seperti ini.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah banyak membantu REDEEMS.

“Kampung Budaya Bidayuh ini bukan hanya untuk kaum Bidayuh, tetapi untuk kaum Cina, Melayu, Iban dan lain-lain.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Perasmian Kampung Budaya Bidayuh, Gawai Bandi REDEEMS dan Sambutan Ulang Tahun ke-25 REDEEMS di Bau malam ini.

Sagah dalam ucapan aluan di Perasmian Kampung Budaya Bidayuh.

Justeru tambah Sagah yang juga Ketua Penasihat Dayak Bidayuh National Association (DBNA), masyarakat Bidayuh harus memberikan sokongan kuat kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, usaha pembangunan yang dibawa GPS adalah untuk manfaat rakyat khususnya dari sudut ekonomi.

“Kampung Budaya Bidayuh ini boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong, saya difahamkan ada acara antarabangsa telah dianjurkan di sini.

“Pelancongan menyumbang pendapatan kepada Sarawak dan ia ada di kawasan Bidayuh, ” kata Sagah.

Hadir sama Presiden REDEEMS Datuk Peter Nansian. — DayakDaily