KUCHING, Ogos 25: Seorang pemandu kereta Perodua Kancil nyaris maut apabila kereta yang diletakkan di Jalan Everbright Park tiba-tiba terbakar dalam satu kejadian tengah malam tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12.48 tengah malam itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, Zainal Suhai, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.50 tengah malam.
Katanya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar kereta tersebut. Namun, pemandu kereta tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Zainal menambah, pasukan bomba kemudian membuat pemadaman menggunakan saluran bantu mula air dari tangki jentera sehingga api dipadam sepenuhnya.
Ujarnya, kebakaran tersebut telah memusnahkan 100 peratus kenderaan tersebut.
“Operasi ditamatkan pada pukul 1.19 pagi,” katanya lagi. — DayakDaily