Kereta terbabas, lima sekeluarga termasuk seorang bayi selamat

Kelihatan seorang bayi bersama ahli keluarganya yang selamat.

MIRI, Feb 17: Lima sekeluarga termasuk seorang bayi berdepan detik mencemaskan apabila sebuah kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di Jalan Permai Jaya, Kuala Baram di sini semalam.

Bagaimanapun, dalam kemalangan kira-kira pukul 5.10 petang itu, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.12 petang.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kesemua mangsa berjaya keluar dari kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku pada kesemua mangsa termasuk bayi itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Law memberitahu, pihak bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sementara menunggu pihak perubatan tiba.

“Pasukan bomba juga memastikan keadaan kenderaan bebas dari sebarang punca-punca api yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya lagi. — DayakDaily