Pusat pemunggahan ikan musnah terbakar

Api sedang merebak di tempat kejadian.

BINTULU, Feb 17: Sebuah pusat pemunggahan ikan dan tempat penyimpanan LPG di bahagian belakang dalam bangunan sama musnah dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Haji Ismail, Kuala Tatau di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu turut mengakibatkan dua blok rumah sewa struktur tidak kekal iaitu sebuah mempunyai empat pintu dan sebuah lagi enam pintu musnah terbakar 100 peratus

Komander Operasi, PPgB Irwin Mustafa berkata, kebakaran itu turut mengakibatkan sebuah rumah sarang burung struktur separa kekal terbakar kira-kira 20 peratus.

Katanya, sebuah motosikal dan sebuah perahu yang berdekatan turut terbakar 100 peratus.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

“Jentera bomba tidak dapat masuk terus ke tempat kejadian memandangkan laluan sempit menuju ke lokasi kejadian.


“Jentera dipakirkan di laluan jalan utama dengan jarak kira-kira 1 kilometer dari lokasi kebakaran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Irwin memberitahu, 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dan BBP Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api.

Jelasnya, hasil daripada maklumat saksi berdekatan, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian penyimpanan LPG sebelum memusnahkan struktur bangunan dan merebak ke blok bersebelahan.

”Kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan jumlah kerugian akibat kejadian masih lagi dalam siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily