Kereta rempuh motosikal, lelaki putus kaki, isteri parah

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Dis 28: Malang menimpa pasangan suami isteri apabila seorang daripada mereka putus kaki dan cedera parah setelah terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Sedaing dekat sini lewat petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu mengakibatkan, si suami putus kaki kanannya, manakala isterinya pula cedera parah.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut dipercayai berlaku selepas motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri tersebut dirempuh sebuah kereta.

Jelasnya, nahas dipercayai berlaku selepas sebuah kereta yang datang dari arah Kampung Jangkar telah merempuh motosikal mangsa.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah.

“Lebih memilukan, kaki kanan si suami yang berusia 45 tahun putus dan mengalami pendarahan teruk sebelum dikejarkan ke Hospital Lundu,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, si isteri yang juga berusia 45 tahun turut dikejarkan ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Katanya, pemandu kereta itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya lagi. – DayakDaily