Kereta 4WD terbabas di Bakam selepas pemandu hilang kawalan

Kenderaan mangsa yang beada dalam keadaan terbalik selepas tiba-tiba hilang kawalan berdekatan jambatan Sungai Raan.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 14 April: Seorang lelaki terselamat meskipun kereta pacuan empat roda (4WD) dipandunya remuk dan terbalik dalam satu kemalangan kendiri berhampiran Jambatan Raan di Bakam pada pagi Rabu (14 April).

Difahamkam, sebelum kejadian, lelaki berusia dalam 30-an itu dalam perjalanan menuju Batu Niah dari bandar Miri menghantar bekalan racun untuk sebuah ladang sawit di sana, sebelum tiba-tiba terbabas lalu terbalik sebaik menghampiri jambatan Sungai Raan.

Advertisement

Kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 11 pagi tadi.

Lokasi kejadian berlaku hanya beberapa meter dari sebuah rumah berdekatan jambatan tersebut.

Menurut pemilik rumah yang dikenali sebagai puan Rahmah, beliau dan keluarganya menyedari kejadian selepas mendengar bunyi dentuman yang kuat.

“Kami bergegas keluar rumah selepas mendengar bunyi dentuman yang agak kuat, dan agak terkejut selepas melihat sebuah kereta terbalik tidak jauh dari rumah kami,” ujarnya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia dan beberapa orang kampung yang lain bertindak memecahkan cermin kereta di bahagian pemandu bagi menyelamatkan mangsa dari kenderaan tersebut.

Dalam kejadian tersebut, pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan. — DayakDaily

Advertisement