Kerana hutang, emas digadai, isteri ditipu dan kini ditangkap polis sebab buat laporan palsu

PDRM logo

KUCHING, 12 Mei: Gara-gara hutang menyebabkan seorang lelaki menggadai rantai emasnya dan terpaksa menipu isterinya mengatakan dirinya diragut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata suspek berusia 31 tahun itu juga tampil membuat laporan polis dengan mendakwa kejadian ragut tersebut berlaku di sebuah pusat komersial di Jalan Matang pada 3 Mei lalu.

Suspek dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 4.30 petang itu mendakwa dirinya didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal lalu meragut beg serta rantai emasnya.


“Bagaimanapun, hasil siasatan polis, akhirnya dia (suspek) mengaku ada masalah hutang dan takut dimarahi isteri sebab rantai emas yang dikatakan diragut itu sebenarnya digadainya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jelasnya, suspek kemudian ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 182 Kanun keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Saya ingin memberi amaran agar tidak mereka cerita disebabkan ingin menyembunyikan kesilapan dan kecuaian sendiri,” tegas Lim. — DayakDaily