Kerana cemburu, wanita dipukul

Suspek (dua dari kanan) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

MIRI, 19 Jun: Seorang wanita bukan sahaja dicekik, malah mendakwa diseret oleh teman lelakinya dalam satu pertengkaran di sebuah rumah di Taman Piasau 1 pada Jumaat.

Susulan kejadian, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah melakukan tangkapan terhadap suspek yang berusia 27 tahun itu di sebuah premis di Jalan Taman Piasau pada petang Jumaat.

Tangkapan dilakukan tidak sampai tiga jam selepas kejadian dilaporkan.

Siasatan awal mendapati, punca pergaduhan berlaku selepas suspek menuduh mangsa berlaku curang terhadap dengan lelaki lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323/ Seksyen 506 Kanun Keseksaan. — DayakDaily