PPV Dewan Universiti Curtin, Miri beroperasi esok 20 Jun

Datuk Lee Kim Shin

KUCHING, 19 Jun: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Universiti Curtin, Miri akan mula beroperasi pada esok 20 Jun, 2021.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, ia menggantikan PPV Dewan Dato Permaisuri.

Menurut beliau, keputusan ini dibuat ekoran daripada ruang menunggu yang terhad dan kekangan tempat letak kereta di Dewan Dato Permaisuri yang diperhatikan sejak kebelakangan ini.


“Pengurusan Curtin Universiti telah bersetuju untuk membantu dan melaksanakan tangungjawab sosial korporat supaya dapat merealisasikan hasrat Ketua Menteri bagi memastikan Program Imunisasi Covid Sarawak tamat pada penghujung Ogos tahun ini.

“Hasil tinjauan dan perbincangan antara JPBB Miri bersama agensi-agensi utama dan Pengurusan Curtin University telah mencapai kata sepakat dan keputusan segera diambil untuk menukarkan lokasi PPV Dewan Dato Permaisuri ke Dewan Universiti Curtin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Buat permulaan tambah Lee, Dewan Universiti Curtin berupaya untuk beroperasi dengan kapasiti 1,500 dos sehari dan akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam, Isnin hingga Ahad.

“Bagi penerima-penerima vaksin yang dijadualkan pada hari Ahad 20 Jun dan hari-hari seterusnya, Bilik Gerakan Vaksin akan melaksanakan panggilan telefon untuk memaklumkan berkenaan pertukaran lokasi tersebut.

“SMS Infoblast juga telah dihantar kepada mereka sebagai makluman tambahan.

“Selain daripada itu, satu sepanduk juga telah diletakkan di lokasi Dewan Dato Permaisuri untuk memaklumkan tentang pertukaran lokasi tersebut,” ujar Lee. — DayakDaily