Kerajaan pusat digesa percepat projek baikpulih sekolah daif di Sarawak

Antara sekolah daif di Sarawak.

KUCHING, 22 Dis: Kerajaan persekutuan digesa untuk mempercepatkan projek membina dan membaikpulih sekolah daif di seluruh Sarawak.

Ketua whip parlimen Gabungan Parti Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan khusus terhadap projek tersebut.

“Malah demi mempercepatkan pelaksanaan projek membina dan membaikpulih sekolah daif di Sarawak, kerajaan negeri sanggup membayar pendahuluan RM350 juta seperti diminta kerajaan persekutuan.


“Ia adalah sebagai kontra bayaran pinjaman RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan,” kata Fadillah menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga MP Petra Jaya berkata pada awalnya ketua menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, telah menawarkan pinjaman RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan untuk tujuan berkenaan.

Katanya, ia untuk memastikan supaya usaha membina dan membaikpulih sekolah daif dapat disegerakan, sebelum kerajaan persekutuan meminta RM1 bilion itu sebagai bayaran pinjaman secara kontra.

Tambah Fadillah, peruntukan daripada kerajaan terdahulu untuk tujuan tersebut jauh lebih besar dibandingkan dengan bajet yang diperuntukkan dibawah kerajaan Pakatan Harapan.

“Sejumlah RM1 bilion diberikan kerajaan terdahulu untuk sekolah daif di Sarawak sahaja, berbanding peruntukan RM783 juta untuk sekolah daif di seluruh negara diumum kerajaan Pakatan,” katanya.

Terdahulu, Fadillah pernah memaklumkan bahawa kerajaan sebelumnya telah meluluskan peruntukan RM2.5 bilion untuk membaiki sekolah daif bagi tahun 2018 dan 2019, masing-masing RM1 bilion untuk Sabah dan Sarawak dan RM500 juta untuk semenanjung. — DayakDaily