Projek Hospital Lawas bukan kategori projek sakit, kata Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 22 Dis: Ketua whip parlimen Gabungan Parti Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek Hospital Lawas tidak boleh dikategorikan sebagai ‘projek sakit’.

Katanya, projek tersebut sememangnya dirancang kerajaan terdahulu untuk dilaksanakan selepas PRU-14.

“Namun tindakan kerajaan Pakatan Harapan menggambarkan ia sebagai projek sakit dan tergendala adalah tidak betul sama sekali.


“Ia tidak boleh dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ kerana proses tendernya, terutama bagi memilih kontraktor berkelayakan, belum pun dilakukan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Difahamkan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, juga pernah berkata Fadillah turut memaklumkan yang projek tersebut belum dapat dilaksanakan kerana tiada pihak pelaksana.

“Justeru, bagaimana ia boleh dikategorikan sebagai ‘projek sakit’?” tegas Fadillah yang juga bekas Menteri Kerja Raya.

Menurut beliau lagi, projek sepatutnya berada dalam peringkat tender sebelum PRU-14 tahun lalu.

“Namun statusnya tidak diketahui selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pusat sehinggalah kerajaan Pakatan mengumum akan meneruskan pembinaannya.

“Akhirnya, pelancaran projek pembinaannya telah dilakukan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian semalam,” ujar Fadillah yang juga MP Petra Jaya.

Pada masa yang sama, beliau turut berkata harapan lebih besar rakyat Sarawak ialah supaya kesemua janji Pakatan Sarawak dalam Manifesto PRU-14 ditunaikan segera.

Tambah Fadillah, janji memberikan royalti minyak 20 peratus dan 50 peratus pendapatan cukai dikembalikan kepada Sarawak harus diutamakan Pakatan. — DayakDaily