Kerajaan negeri tetap dengan keputusan menangguhkan pembinaan LRT

Abang Johari berucap ketika menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Baharu SJK (C) Stampin, di Kuching.

KUCHING, Nov 19: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan kerajaan negeri tetap dengan keputusannya untuk mengutamakan dahulu penyediaan kemudahan asas di luar bandar negeri ini dan menangguhkan pembinaan pengangkutan Sistem Aliran Ringan (LRT).

Ini walaupun penduduk Kota Samarahan telah memohon kepadanya bagi menimbangkan memulakan pembinaan LRT seawal mungkin bagi menghubungkan Kota Samarahan dengan bandaraya Kuching kerana masalah kesesakan lalulintas yang semakin teruk.

“Saya (sebelum ini) mahu buat LRT, ada orang (politik) tidak mahu, dia kata membazir duit, jadi saya tangguhkan dan tidak buat LRT kerana terlalu dipolitikkan, tetapi hari ini rakyat di Kota Samarahan mahu LRT dan menyarankan lebih baik dibina seawalnya,” katanya ketika menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Stampin, di sini, hari ini.


Majlis tersebut juga dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee dan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk James Chan.

Abang Johari berkata walaupun ada permintaan dari penduduk Kota Samarahan, beliau tetap dengan keputusannya sebelum ini bagi mengutamakan pengunaan sumber kewangan negeri ini bagi menyediakan kemudahan asas ke luar bandar negeri ini terlebih dahulu dan hanya akan menimbangkan keputusan itu sekiranya keadaan telah menjadi amat mendesak.

“Saya tengok dan buat luar bandar dahulu tetapi kalau amat mendesak, maka selepas itu kita akan melihat dan menimbangkankannya kembali, sebab kita punya bandar sudah membangun,” katanya.

Beliau sehubungan itu berharap ahli politik di negeri ini supaya tidak menjadikan pembinaan LRT tersebut sebagai isu politik semata-mata tetapi sebagai menyediakan kemudahan yang memang diperlukan rakyat negeri ini.

Selain itu, Abang Johari juga mengalakkan rakyat Sarawak menguasai bahasa Mandarin dan Inggeris supaya mereka mudah menjalin kerjasama dengan rakyat China dan Amerika Syarikat yang merupakan dua negara ekonomi terkuat di dunia dan sedang berperang ekonomi.

“Sekarang Amerika Syarikat dan China sedang bergaduh, sebab China sudah amat kuat (ekonominya); kita mesti boleh bekerjasama dengan China dan juga Amerika, jadi kamu mesti tahu dua bahasa utama iaitu Mandarin dan Inggeris,” katanya.

Katanya, ketika ini, semakin ramai penduduk negeri ini terutama yang bukan kaum Cina memilih menghantar anak ke sekolah aliran Cina supaya anak mereka dapat menguasai bahasa Mandarin berikutan kepentingan bahasa terbabit dari segi ekonomi dan sosial.

“Ini termasuk keluarga saya sendiri. Saya punya cucu pergi ke sekolah Cina dan belajar (bahasa) Mandarin,” katanya.

Abang Johari berkata kerajaan negeri juga sudah lama mengiktiraf sijil peperiksaan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dari sekolah aliran Cina dan berharap dasar terbabit membolehkan anak Sarawak mendapat pendidikan bersesuaian dan mereka akan mampu memainkan peranan dalam ekonomi dunia.

Selain bahasa, Abang Johari juga berharap sekolah aliran Cina di negeri ini termasuk SJK (C) Stampin Kuching dapat mengajar murid tentang komputer supaya dapat menjadi insan celik komputer dan teknologinya serta terbabit dalam ekonomi digital. — DayakDaily