Fadillah: GPS sambut baik kelulusan pendaftaran oleh KDN

Datuk Sri Fadillah Yusof

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 19: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik dan berterima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah meluluskan pendaftaran gabungan empat parti dari Sarawak itu, hari ini.

Kelulusan pendaftaran GPS diumumkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2019 peringkat dasar untuk Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.


Muhyiddin memaklumkan bahawa pendaftaran GPS telah pun diluluskan dan surat dari Pendaftar Pertubuhan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Ketua Whip GPS merangkap Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, GPS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas pertimbangan dan kelulusan daripada pihak Pendaftar Pertubuhan dan juga Menteri Dalam Negeri.

Jelasnya, ini sekali gus merupakan satu pengiktirafan kepada perjuangan rakyat Sarawak bagi mempertahankan hak Sarawak dalam Malaysia.

“Seperti ditegaskan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, GPS akan bekerjasama de­ngan kerajaan persekutuan atas dasar kepentingan nasional dan hak negeri serta kepentingan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

“Penubuhan GPS bertujuan membolehkan Sarawak bergerak di atas landasan politik baharu, melangkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran sejajar dengan perubahan aspirasi, keperluan dan kehendak rakyat Sarawak yang memiliki berbagai kaum, budaya serta agama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Fadillah menambah, GPS akan terus melindungi kepentingan rakyat Sarawak tanpa mengambil kira kaum secara inklusif.

Katanya, parti gabungan baharu ini akan membolehkan Sarawak memberi lebih tumpuan tentang kepentingan dan hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Pada Jun 12 lepas, empat parti tempatan Sarawak mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan membentuk GPS.

Empat parti berkenaan ialah PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). — DayakDaily