Kerajaan negeri sedia peruntukan bina blok tambahan sementara di Depot Tahanan Imigresen Semuja

Abang Johari (tengah) pada sidang media di Depot Tahanan Imigresen Semuja.

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 22 Mac: Kerajaan negeri setuju menyediakan peruntukan untuk mewujudkan blok tambahan sementara bagi menempatan Orang Kena Tahan (OKT) di Depot Tahanan Imigresen Semuja di sini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi mengurangkan jangkitan Covid-19 di kalangan OKT di depot tersebut yang meningkat sejak Khamis lepas.


“Kita tidak dapat tunggu, maka kerajaan negeri akan membantu pihak imigresen untuk mewujudkan blok sementara untuk menempatkan OKT.

“Saya serahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), yang penting ada bangunan. Asal sahaja mereka mempunyai nisbah yang betul untuk menempatkan tahanan dan mesti ada penjarakan fizikal 1 meter antara tahanan.

“Kalau mereka (JKR) kata 3 blok, kita bina 3 blok dan kalau 4, kita bina 4 blok,” katanya pada sidang media selesai sesi taklimat pada lawatan kerja ke Depot Tahanan Imigresen Semuja hari ini.

Menurut Abang Johari, lawatan tersebut bertujuan untuk mengenalpasti punca kenaikan mendadak jangkitan Covid-19 di depot tersebut yang telah memudaratkan OKT.

Katanya, mungkin ada sebab-sebab tertentu termasuklah ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP)  selain keadaan bilik OKT.

“Saya rasa, kesimpulannya mungkin ada kelemahan pematuhan SOP dari sudut ujian Covid-19 kerana selalunya mereka hendaklah diuji di satu tempat sebelum dibawa ke sini.

“Perkara kedua, kita diberi taklimat bahawa dalam satu blok ada seramai 75 OKT, saya rasa kalau tiada covid tiada masalah, tetapi dengan situasi kini ia terlalu padat.

“Maka hari ini saya telah bersetuju untuk mewujudkan blok tahanan sementara supaya mereka dapat dikuarantin 10 orang dalam satu bilik, bukannya situasi kini 20 orang satu bilik,” ujar Abang Johari.

Kluster Tahanan Bukit Semuja dikesan susulan saringan ke atas semua anggota imigresen dan tahanan di depot tersebut.

Saringan dilakukan berikutan maklumat terdapat individu positif Covid-19 dalam kalangan pendatang tanpa izin yang diusir keluar sebelum ini.

Sehingga kini sejumlah 239 daripada 462 OKT depot tersebut telah dijangkiti Covid-19 dan ia tidak melibatkan anggota imigresen.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion. — DayakDaily