Kerajaan negeri akan menggantikan bantuan, elaun kebajikan OKU jika dipotong kerajaan pusat

Abang Johari (barisan depan, tengah) memotong riben bersama tetamu kehormat lain termasuk Juma'ani (sebelah kiri Abang Johari) sebagai simbolik merasmikan Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma'ani, di Jalan Kulas, Satok.

KUCHING, Mac 3: Kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan akan menggantikan bantuan dan elaun kebajikan kepada golongan kelainan upaya (OKU) di negeri ini sekiranya ada dipotong kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH).

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri mahu terus terbabit dalam usaha menjaga dan menguruskan hal ehwal kebajikan rakyat negeri ini.

“Sekiranya kerajaan PH ada memotong bantuan dan elaun kebajikan, kerajaan negeri GPS akan mengantikan bantuan dan elaun yang dipotong terbabit supaya kita dapat terus menguruskan hal-hal kebajikan kita di Sarawak,” katanya di Majlis Perasmian Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani, di Jalan Kulas, Satok, di sini, hari ini.


Abang Johari tidak mendedahkan butiran perkara tersebut tetapi ketika ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada memberikan Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM350 sebulan kepada golongan OKU yang bekerja manakala OKU tidak berupaya kerja menerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja sebanyak RM200 sebulan dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar sebanyak RM300 sebulan.

Beliau berkata pihaknya bersedia mengantikan pemotongan bantuan dan elaun kepada golongan terbabit berikutan kerajaan negeri dijangka menambah sumber kewangannya melalui hasil cukai jualan minyak dan gas dari negeri ini tahun ini.

“Kalau kita dapat banyak duit dari cukai jualan minyak dan gas kita itu, saya berilah kembali kepada golongan OKU yang juga rakyat Sarawak, kerana saya yakin kalau kita membuat kebajikan maka Tuhan akan membantu kita,” katanya.

Katanya ini terjadi kepada usaha pembinaan Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani terbabit kerana tampil seorang individu tidak dikenali menderma sebanyak RM500,000 bagi membantu setengah kos pembinaan pusat itu yang keseluruhannya sebanyak RM1 juta.

“Kita tidak minta, (beliau) ikhlas hati menderma sebanyak itu setelah melihat persembahan anak kita dari golongan istimewa ini,” katanya dengan pusat terlibat terletak di tanah seluas 0.35 ekar milik Permodalan Satok Berhad (PSB) di Jalan Kulas.

Sebelum ini, PSB bersama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Satok dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Satok telah mengadakan Upacara Pecah Tanah Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani yang disempurnakan isteri Ketua Menteri dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Petra Jaya, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang pada November 13 tahun lepas.

Pusat kebajikan tersebut menjadi PDK bagi kanak-kanak OKU dan sebuah PAWE dan juga menyediakan khidmat nasihat, bimbingan kekeluargaan dan sosial kepada masyarakat sekitarnya secara percuma serta beroperasi dari Isnin hingga Jumaat jam 8 pagi sehingga 5 petang. — DayakDaily