KUCHING, 20 Nov: Majlis Perancangan Negeri (SPA) telah menerima tiga permohonan untuk membangunkan stesen minyak di Julau, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Menurut beliau, satu permohonan telah diluluskan oleh SPA pada 24 Nov 2023 tetapi telah tamat tempoh Provisional Approval.
“Pemohon gagal untuk mengemukakan pelan susun atur terkini bagi tujuan Formal Approval dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Manakala dua lagi permohonan telah ditolak kerana tidak menepati syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh SPA,” kata Awang Tengah.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar Kedua di Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.
Terdahulu pada perbahasan di DUS minggu lepas, Adun Meluan Rolland Duat Jubin memohon kerajaan mempercepatkan pembangunan stesen minyak di Julau.
Katanya, rakyat di Meluan sudah sekian lama tidak disediakan kemudahan stesen minyak dan terpaksa ke Sibu Jaya untuk mendapatkan bekalan minyak. — DayakDaily