Kerajaan komited selesaikan masalah pengambilan pekerja asing

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 19 Julai: Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan digesa mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung bulan Julai ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan pendekatan bagi mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing.

“Kedua, para majikan digesa untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang telah diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.

“Ketiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang membincangkan tiga perkara utama, iaitu pengambilan pekerja asing, mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan.

Tambah beliau, mesyuarat mengambil maklum akan prestasi program MyMudah yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

Namun katanya, masih banyak rungutan diterima daripada pihak industri.

Oleh itu, MPC diminta menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah.

“Sebanyak 30 peratus isu-isu yang diterima melalui MyMudah telah diselesaikan dalam masa kurang daripada 60 hari seperti mana yang disasarkan.

“Sehubungan itu, Kerajaan turut menggesa MPC berusaha untuk menyelesaikan kes-kes kompleks dalam tempoh 60 hari juga,” ujar Ismail Sabri.

Mesyuarat juga bersetuju supaya MPC menyegerakan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya.

Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta melaksanakan program-program berkaitan sekuriti makanan negara yang telah dipersetujui Kerajaan dengan segera. — DayakDaily