Kerajaan digesa memberi dana khas untuk penyelengaraan jalan alternatif Kanowit-Song

Keadaan jalan alternatif tersebut yang memerlukan penyelengaraan.
Advertisement

KAPIT, Jan 17: Kegagalan kerajaan menyiapkan jalan Standard R3 dari Ngemah (Kanowit) ke Temalat (Song) yang sepanjang 9.6 km yang lebih dikenali sebagai jalan “missing link” bukan satu isu baru.

Ini adalah kerana, meski banyak penjelasan yang sudah diberikan oleh pihak berwajib akan status jalan tersebut dan tender kononnya diberikan kepada kontraktor pada Oktober 2017 tetapi sehingga hari ini tiada tanda pembinaan sudah bermula, berkata Paren Nyawi, pembantu khas Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling dalam satu kenyataan media hari ini.

Penduduk Kapit terpaksa mengunakan jalan alternatif (Ngungun-Temalat) yang mula dibuka kepada orang awam pada Ogos 2017 selepas pembukaan Jambatan Kanowit dan Jambatan Katibas .

Advertisement

“Orang ramai sering menggunakan jalan alternatif itu berulang-alik (dari Song-Kanowit) untuk mengurangkan kos sekiranya begerak dalam kumpulan besar dan menbawa barang yang banyak untuk mengurangkan kos yang tinggi sekiranya mengunakan laluan sungai yang sangat mahal.

“Saya mengesa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diwakili oleh Ahli Parlimen Kapit (Timbalan Menteri Datuk Alexander Nanta Linggi) menyediakan dana khas untuk digunakan menaik taraf jalan tersebut (jalan balak dan ladang kelapa sawit yang dimiliki oleh pihak swasta) disebabkan orang ramai sering menggunakan laluan tersebut dan sangat berisiko tinggi di mana banyak kenderaan terkandas di dalam lumpur semasa musim hujan.

“Justeru,dengan adanya dana khas itu pemilik jalan persendirian dapat membantu mengekalkan keadaan jalan raya dan memudahkan perjalanan rakyat sementara menuju jalan sebenar siap dalam tempoh empat tahun lagi seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement