Kerajaan BN diyakini tidak akan mengabaikan warga veteran ATM

Mohd Anwar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil persatuan veteran di Sarawak, semalam.

KUCHING, April 23: Presiden Persatuan Veteran ATM Malaysia, Senator Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor memberi jaminan bahawa kebajikan warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus terjamin di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau menjelaskan komitmen kerajaan itu telah dibuktikan selama ini menerusi pelbagai langkah yang dilaksanakan.

“Malah dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini juga telah menunjukkan keprihatinan BN kepada veteran ATM apabila telah menyatakan akan membina 1,800 buah rumah untuk veteran ATM,” katanya sempena majlis Ekspresi Prihatin Veteran ATM Negaraku, di sini.

Mohd Anwar menambah kerajaan selama ini juga amat komited dalam membantu warga veteran ATM serta membela nasib mereka.

Katanya tahun lepas, kerajaan telah memberikan RM1,500 setahun kepada veteran ATM tidak berpencen melalui program Bakti Negara.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut memberi RM600 setahun kepada veteran yang tidak layak menerima BR1M.

“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa melihat keperluan veteran,” katanya.

Sempena majlis, Mohd Anwar turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM8,000 kepada Persatuan Veteran Malaysia Sarawak, Persatuan Veteran Renjer Sarawak sebanyak RM1,000 dan Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer Sarawak sebanyak RM3,000. — DayakDaily