Kerajaan akan terus bantu perkukuh sektor ekonomi digital, kata PM

Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin. (file photo)

KUCHING, 19 Feb: Kerajaan akan terus memacu dan membantu dalam pengukuhan sektor ekonomi digital menerusi beberapa pendekatan yang holistik.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembinaan infrastruktur digital  merupakan tulang belakang dalam membentuk sebuah ekosistem digital yang mampan.

Katanya, pelbagai inisiatif perlu dirintis bagi membentuk dan mewujudkan ekosistem tersebut yang seterusnya bakal menjadi enjin utama dalam pertumbuhan ekonomi negara yang lestari.


“Inisiatif ini akan dilaksanakan dengan beberapa cara termasuk dengan memupuk persekitaran pengawalselian yang mendukung penggunaan digital sambil melindungi privasi warganegara.

“Melaksanakan pentadbiran data awam supaya ia boleh dimanfaatkan bersama oleh organisasi awam serta swasta dan memudahkan evolusi pasaran buruh dalam industri yang berkemungkinan tergangu oleh automasi dengan teknologi digital,” katanya ketika melancarkan MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, bersandarkan usaha tersebut, kerajaan akan memastikan syarikat-syarikat digital yang terbabit dengan kerajaan berusaha gigih untuk membantu rakyat di negara ini.

“Syarikat-syarikat ini antaranya juga akan menjalin kerjasama dengan universiti-universiti tempatan bagi mewujudkan Falkulti Kecerdasan Buatan (AI) dan sebagainya serta berkerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan program peningkatan kemahiran perkerja secara amnya,” katanya.

Muhyiddin berkata, isu keselamatan siber dan data pastinya antara tumpuan utama  kerajaan bdalam merealisasikan visi negara berteknologi digital.

Justeru beliau memberikan jaminan bahawa kerajaan komited dalam memantau sistem keselamatan tersebut bagi mengelakkan sebarang ancaman siber di masa hadapan.

“Data rakyat akan dikendalikan dengan penuh hemat berdasarkan piawaian keselamatan yang ditetapkan kerajaan melalui agensi perlaksana iaitu Agensi Keselamtan Siber Negara (NACSA),” katanya.

Tegas Muhyiddin, inisiatif MyDigital melalui Rangka Tindakan  Ekonomi Digital mengandungi pelan pendekatan senegara.

Justeru katanya, dalam menghadapi kemunculan ekosistem digital masa depan, semua pihak berkepentingan perlu mengadaptasi secepat mungkin dalam menghadapi cabaran sebuah negara yang terhubung.

“Saya berharap semua rakyat Malaysia dapat memanfaatkan teknologi digital ini sepenuhnya dan cekal mendepani peralihan ke ekonomi digital.

“Walaupun sektor awam dan swasta mungkin memainkan peranan yang berbeza tetapi kita harus tetap senada dan sehaluan,” katanya.

Muhyiddin turut menyuarakan keyakinannya, kerangka dasar merangkumi pembentukan infrastruktur, memperjelaskan kawal selia serta pemudahcara pembentukan ekosistem berupaya memberikan negara, halatuju diperlukan untuk merealisasikan visi digital tersebut. — DayakDaily