Keputusan saman fitnah jadi pengajaran kepada ahli-ahli politik, kata Abdul Karim

Abdul Karim ketika ditemui pemberita hari ini (Dis 4, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Dis 4: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menganggap keputusan kes saman Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah terhadap pemimpin PKR Sarawak Vernon Kedit harus menjadi pengajaran kepada ahli-ahli politik.

Katanya, mereka (ahli politik) perlu tahu yang undang-undang harus dihormati dan seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan fitnah dan hasutan sesuka hati.


“Ada undang-undang yang akan mengekang kita dan jika ia melintasi garis tersebut, kita boleh didakwa.

“Keputusan ini adalah pengajaran berguna kepada ahli-ahli politik dan mereka yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambah Abdul Karim, Vernon yang juga seorang peguam telah gagal memahami undang-undang ini.

“Beliau seharusnya tahu, apalah gunanya pergi jauh untuk belajar undang-undang dan tidak memahami garis yang boleh dan yang tidak boleh dilangkah,” ujar Abdul Karim.

Uggah yang juga ADUN Bukit Saban memfailkan kes saman fitnah pada 8 Ogos 2018 setelah Vernon melabelkan beliau sebagai penipu dan pengkhianat.

Vernon yang merupakan bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengeluarkan kenyataan berhubung pindaan Kod Tanah Sarawak menerusi kumpulan WhatsApp PKR State Media pada 12 Julai 2018

Beliau menuduh Uggah berbohong berkenaan intepretasi ‘usufructuary right’ sebagai boleh dimiliki dan dipakai yang mana telah disangkal oleh Uggah.

Hakim Mahkamah Tinggi Ravinthran N Paramaguru ketika membuat keputusan kes saman fitnah dalam kamar hakim pagi tadi telah menetapkan Vernon harus membayar saman RM200,000 kepada Uggah.

Hakim juga memerintahkan Vernon membayar kos guaman sebanyak RM40,000. — DayakDaily