Urusan Sarawak, biar orang Sarawak yang urus — PAS

Zharudin Narudin

KUCHING, Dis 4: Ketua Penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin menyatakan bahawa urusan negeri Sarawak sebaiknya diserahkan kepada orang Sarawak.

Katanya, pendirian itu telah disampaikan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pidato ‘Bicara Ini Demi Perpaduan’ yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

“Jawapan tegas Abdul Hadi pada pidato tersebut bahawa urusan negeri Sarawak sebaiknya diserahkan kepada orang Sarawak untuk menguruskannya.


“Ia merupakan petunjuk awal bahawa PAS sangat menghormati keputusan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah Zharudin, PAS di Sarawak menyambut baik saranan supaya tiada mana-mana pihak mengeksploitasi keputusan rakyat seperti merosakkan pentadbiran kerajaan demi menjadi Perdana Menteri.

Menurut beliau lagi, PAS sedih melihat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Sarawak yang tidak berupaya membawa hak negeri dan sering kalah dengan “tuan” mereka dalam kerajaan persekutuan.

Selain itu, Zharudin juga memaklumkan yang PAS Sarawak mempunyai rekod penyokong tegar dan kuat di DUN Beting Maro.

“Keputusan undi meningkat serta tidak hilang deposit merupakan kehendak dan pilihan rakyat di situ untuk memilih PAS.

“Biarpun kini PAS Sarawak “mesra” bersama kerajaan negeri dan hubungan baik antara ahli Parlimen masing-masing, PAS Sarawak tidak melihat suara kebangkitan rakyat Beting Maro khususnya diabaikan.

“Sudah pasti jika PAS mendapat kerusi tersebut, akan menjadi pengimbang kepada penggubal polisi di peringkat negeri,” katanya.

Justeru, beliau menganggap tidak timbul juga ketakutan rakyat Sarawak kepada PAS.

Ketakutan dan fobia ini, katanya, diambil kesempatan oleh musuh politik PAS dengan memberi gambaran dan persepsi jahat. — DayakDaily