Keputusan PN bertanding di Sarawak adalah hak dalam amalan demokrasi – Nanta

Nanta ketika ditemui di Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, 2 Nov: Keputusan Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon di empat kerusi Parlimen di Sarawak adalah hak parti tersebut dalam amalan demokrasi.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Alexander Nanta Linggi berkata, ia terpulang kepada PN untuk bertanding di Sarawak

“Itu memang hak mana-mana parti dalam amalan demokrasi.


“Jadi dalam demokrasi, kita mengalu-alukan kehadiran PN. Tiada siapa boleh melarang mana-mana parti,” kata Nanta.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Peranti Siswa dan Sumbangan Food Bank di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Semalam Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Saratok Datuk Ali Biju dan penyandang kerusi Lubok Antu Jugah Muyang akan mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ali dan Jugah antara empat calon yang diletakkan PN di Sarawak selain dua kerusi dipertandingkan iaitu kerusi Parlimen Bintulu dan Batang Lupar.

Daripada empat kerusi itu, tiga daripadanya mewakili Bersatu dan seorang lagi calon PAS iaitu Batang Lupar.

Manakala bagi kerusi Parlimen Bintulu, PN mempertaruhkan calonnya Duke Janteng sementara Batang Lupar yang diwakili PAS akan diumumkan nanti. — DayakDaily