Keputusan mengenai mewujudkan kemudahan makmal ujian virus Wuhan akan diketahui esok

Datu Ik Pahon Joyik

KUCHING, 28 Jan: KUCHING, 28 Jan: Kerajaan Sarawak akan memutuskan samada mewujudkan kemudahan makmal ujian mengesahkan jangkitan Novel Koronavirus di negeri ini esok.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik berkata demikian dengan keputusan itu akan dibuat pada mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas bermula jam 9 pagi.

“Beliau akan menerangkan dasar kerajaan Sarawak dalam menangani kes jangkitan virus terbabit. Satu dari arah dasar itu yang kita akan lihat esok adalah samada kita akan melatih doktor dan mewujudkan kemudahan (makmal ujian Novel Koronavirus ) itu, sama seperti yang kita lakukan bagi menangani wabak rabies sebelum ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat teknikal mengenai Koronavirus bersama pihak berkepentingan di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Ik Pahon berkata ketika ini doktor di Sarawak terpaksa menghantar sampel pesakit yang disyaki dijangkiti virus itu ke makmal ujian di Kuala Lumpur dan perlu menunggu dalam tempoh tertentu bagi mendapatkan keputusan makmal terbabit.

“Kita sendiri boleh mewujudkan makmal ujian terbabit di Sarawak, ini adalah satu isu yang telah dibangkitkan Jabatan Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini Sarawak juga menghantar sampel individu yang disyaki dijangkiti rabies ke makmal ujiannya di Ipoh bagi disahkan jangkitannya dan bagi mempercepatkan proses itu negeri ini telah mewujudkan makmal ujian rabies sendiri. — DayakDaily