Lelaki pukul dan paksa remaja hisap kemaluan ditangkap

DSP Merbin Lisa

KUCHING, Jan 28: Anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IbuPejabat Daerah(IPD) Simunjan pada Januari 26 lepas berjaya menangkap suspek kes pukul kurang 24 jam kes tersebut dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Merbin Lisa berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia pertengahan 20-an itu ditangkap di sebuah kampung di kawasan Sebuyau sekitar jam 7.30 petang.

Menurutnya, selain melakukan kekerasan suspek juga memaksa mangsa yang berumur 14 tahun menghisap kemaluannya.

“Sebelum kejadian, mangsa pada Januari 25 telah diajak oleh suspek untuk menemaninya ke pasar Sebuyau untuk membeli rokok dengan menaiki sebuah motosikal.

“Balik dari pasar Sebuyau, suspek telah membawa mangsa masuk ke kawasan semak di tepi jalan sebelum bertindak menumbuk serta menendang mangsa.

“Suspek memberitahu mangsa perlu menghisap kemaluannya sekiranya ingin melepaskan diri,” kata Merbin menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Merbin lagi, mangsa yang dalam ketakutan telah berjaya melepaskan diri dengan mencucuk mata suspek menggunakan jarinya.

Laporan telah dibuat ibu mangsa dan suspek juga merupakan saudara kepada pengadu.

Mangsa yang trauma telah dihantar ke Hospital Simunjan sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan lanjut.

Suspek yang mengaku melakukan kesalahan itu ditahan reman selama tujuh hari bermula Januari 28 hingga Februari 3 di Lokap IPD Simunjan untuk membantu siasatan.

Suspek boleh dituduh dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih dari satu tahun atau denda dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Amang Seksual Fizikal Atas Kanak-Kanak) yang membawa hukuman tidak melebihi 20 tahun dan sebat. — DayakDaily