This Content Is Only For Subscribers
SEMATAN, 13 Sept: Semoga sentiasa sihat serta kerap lagi berkunjung ke Sarawak adalah permintaan rakyat negeri ini terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Al-Sultan Abdullah yang mengakhiri penjelajahan Kembara Kenali Borneo di KM 0 Telok Melano pada hari ini terus disenangi rakyat dengan sikapnya yang peramah.
“Saya datang seawal jam 8 pagi tadi untuk bertemu dengan YDP Agong.
“Kalau ada peluang untuk berbual dengan Agong, saya nak ucapkan semoga sentiasa sihat dan kerap lagi datang melawat Sarawak kepada beliau,” kata Mohamad Salihin Abdul Rani.
Mohamad Salihin, 53, yang berasal dari Kampung No. 5 di Petra Jaya menyifatkan Al-Sultan Abdullah seorang Raja yang mesra rakyat serta prihatin.
Katanya, sepanjang Kembara Kenali Borneo yang bermula di Tawau, Sabah pada 3 Sept lepas, Al-Sultan Abdullah sentiasa kelihatan bersama masyarakat dari pelbagai kaum dan agama.
“Justeru saya sanggup datang dari Kuching untuk bertemu dengan YDP Agong, saya tidak mahu melepaskan peluang ini,” katanya.
Bagi menarik perhatian YDP Agong, Mohamad Salihin telah membawa bendera Malaysia yang panjangnya lebih 5 meter.
Keberangkatan tiba kembara Al-Sultan Abdullah bersama rombongan di Telok Melano pada jam 12.40 tengahari tadi telah disambut ribuan penduduk Sematan dan Lundu.
Orang ramai kelihatan beratur di tepi jalan menuju ke Bulatan KM 0 Telok Melano seawal jam 9 pagi.
Berangkat sama paduka anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah. — DayakDaily