Kemeriahan sambut tahun baharu bertukar duka, rumah musnah terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jan 2: Kemeriahan sambutan tahun baharu bagi sebuah keluarga bertukar menjadi duka apabila rumah mereka di Kampung Penan Muslim, di sini, hangus petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu mengakibatkan sebuah rumah berstruktur jenis kekal telah terbakar 80 peratus.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.32 petang.

Sejurus itu, sepasukan 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Kelihatan api sedang marak membakar sebuah rumah.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan. Bagaimanapun, semasa kejadian tiada penghuni berada di rumah berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, semasa kebakaran berlaku pemilik rumah berada di Mukah.

Katanya, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 4.30 petang.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily