Kemeriahan Hari Raya sudah tiada makna, rumah didiami sebuah keluarga terbakar

Kelihatan api sedang marak membakar tingkat dua sebuah kediaman di Kampung Tabuan Melayu.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 15: Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi sebuah keluarga sudah tidak bermakna lagi apabila kediaman mereka di Kampung Tabuan Melayu, terbakar hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.42 petang itu menyebabkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal tersebut terbakar 100 peratus di bahagian tingkat atas.

Ketua Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Faizal Sahari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung dengan kebakaran itu pada pukul 2.44 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi pemadaman.

Pasukan bomba sedang berusaha melakukan operasi memadam kebakaran.
Kelihatan kesan kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar tingkat dua rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, penghuni rumah tersebut telah keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Faizal menambah, anggota BBP Padungan turut ke lokasi sebagai pasukan bantuan.

Katanya, kepantasan pihak bomba melakukan operasi berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tingkat bawah kediaman tersebut.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily