Pemuda melecur di dada, telefon bimbit yang dicas meletup

Keadaan bilik mangsa selepas telefon bimbit miliknya meletup.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 15: Malang menimpa seorang pemuda apabila seunit telefon bimbit yang dicas tiba-tiba meletup di sebuah rumah di Taman Desa Wira, petang tadi

Kejadian kira-kira pukul 1 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia 20-an melecur di bahagian dada dan anggota badan lain.


Sumber berkata sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang mengecas telefon bimbit miliknya yang diletakkan di atas dadanya.

Bagaimanapun katanya, telefon bimbit berkenaan secara tiba-tiba meletup hingga mengakibatkan mangsa melecur.

Mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak.

“Panik dengan insiden itu, ahli keluarga pemuda tersebut segera membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Umum Sarawak,” katanya di sini hari ini.

Sumber menambah, buat masa ini mangsa masih menerima rawatan di hospital tersebut.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya lagi. — DayakDaily