Kementerian Utiliti meneruskan Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar, untuk elektrifikasi sepenuhnya di Sarawak

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi

KUCHING, Mei 17: Kementerian Utiliti akan terus berusaha untuk mencapai sasaran mengikut perancangan yang telah dibuat di bawah Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar, untuk elektrifikasi sepenuhnya di Sarawak.

Menteri Muda Bekalan Elektrik, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata ia untuk memastikan sasaran pembekalan elektrik 100 peratus ke setiap isi rumah di seluruh Sarawak dapat dicapai menjelang 2025, walaupun berhadapan kekangan ekoran pertukaran kerajaan pusat yang kini di bawah Pakatan Harapan.

“Masih terlalu awal untuk mengetahui hala tuju kerajaan pusat baharu ini berhubung dengan peruntukan bagi memberi kemudahan asas kepada penduduk luar bandar.


“Namun untuk elektrifikasikan sepenuhnya di Sarawak, kementerian akan meneruskan Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar kerana ini kemudahan yang paling asas dan harus dinikmati oleh penduduk luar bandar di seluruh pelusuk Sarawak,” katanya ketika dihubungi.

Sarawak berada di landasan untuk mencapai liputan elektrik 100 peratus walaupun menghadapi cabaran logistik disebabkan bentuk muka bumi yang mencabar selain populasi penduduk luar bandar yang berselerak.

Pada masa ini, pembekalan elektrik kepada isi rumah di seluruh Sarawak sudah mencapai 90 peratus, hasil daripada pelaksanaan alternatif di bawah Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar.

Antaranya seperti Skim Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) yang telah membantu menerangi kebanyakan komuniti yang paling jauh di negeri ini, sekali gus mengurangkan beban penduduk yang bergantung kepada penjana diesel yang mahal.

Selain SARES adalah Skim Elektrik Luar Bandar (RES) dan Skim Pembekalan Tenaga Luar Bandar (RPSS), yang telah mempercepatkan rancangan elektrifikasi kerajaan negeri untuk menutup jurang antara pembangunan luar bandar dan bandar. — DayakDaily