28 kaki judi disyaki terlibat dalam perjudian haram diberkas

Anggota polis melakukan serbuan di pusat perjudian haram.

KUCHING, Mei 17: Seramai 28 kaki judi diberkas setelah mereka disyaki terlibat dalam jenayah perjudian haram di 11 buah daerah di seluruh negeri ini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, kesemua kaki judi terbabit ditahan menerusi 19 serbuan berasingan yang dilakukan oleh pasukan polis.

Jelas beliau, remaja berusia 17 tahun merupakan antara individu yang ditahan, suspek lain pula dalam usia lingkungan hingga 35 tahun.


“Daripada 19 serbuan itu, 13 serbuan dilakukan terhadap premis menjual nombor loteri tidak berlesen. Hasil serbuan, polis merampas wang tunai berjumlah RM2,401 serta peralatan seperti telefon bimbit, kalkulator, mesin cetak dan barangan lain.

“Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM2,446 serta beberapa unit telefon bimbit menerusi serbuan di pusat-pusat judi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Dennis menambah, kesemua kaki judi berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya lagi. — DayakDaily