Kementerian untuk menghidupkan semula program RIMUP di sekolah rendah

KUCHING, 4 Sept: Sarawak bercadang mengembalikan semula program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) di sekolah rendah di negeri ini yang telah terhenti setelah Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pusat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata demikian dan pihaknya mensasarkan program RIMUP dapat kembali diadakan di sekolah dnegeri ini pada tahun hadapan.

“Kami sudah buat (RIMUP di sekolah negeri ini) sebelum kerajaan Pakatan Harapan dahulu. Di bawah kementerian kami, kita beri peruntukkannya kepada sekolah supaya mereka mengadakan (RIMUP), kemudian bila Pakatan Harapan ambil alih (kerajaan pusat) ini telah terhenti. Malahan kami tidak boleh memasuki sekolah pun dulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sesi Maklum Balas Rakyat Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PPTN) 2021-2025 Bahagian Negeri Sarawak di Yayasan Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Fatimah berkata program RIMUP yang peruntukkannya penganjurannya dari kerajaan Sarawak dan diagihkan kementerian terbabit perlu dikembalikan kerana ada sekolah di negeri ini mempunyai murid terdiri dari satu kaum sahaja dan murid terbabit hanya bergaul sesama mereka dan bertutur bahasa kaum mereka sahaja di sekolah.

Katanya ini menyebabkan murid sekolah terbabit termasuk di sekolah vernakular tidak berpeluang berinteraksi dengan murid dari kaum-kaum lain bagi belajar perbezaan bahasa, budaya dan agama mereka.

“Sarawak pun ada sekolah sedemikian tetapi tidak besar bilangannya. Namun begitu, kita akan cadangkan dalam jawatankuasa (perpaduan) kita untuk di Sarawak, kita akan adakan (kembali) RIMUP. Kita akan bermula di sekolah rendah,” katanya.

Fatimah berkata melalui aktiviti permainan dan kebudayaan RIMUP, murid sekolah terbabit akan berpeluang berinteraksi dan mempelajari budaya, bahasa, agama, pakaian dan makanan murid dari pelbagai kaum yang lain.

Selain itu, Fatimah juga bersetuju dengan langkah kerajaan pusat yang memberi jaminan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular di negara ini bagi mengelakkan polarisasi kaum kerana dari pengalamannya murid dari sekolah terbabit boleh belajar berinteraksi dengan murid pelbagai kaum lain melalui RIMUP.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang memberi jaminan kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular baharu-baharu ini di Parlimen.

Disamping itu, Fatimah mendedahkan pihaknya mencadangkan kepada lebih 3,000 institusi pendidikan awal kanak-kanak di negeri terutama taska dan tadika menjadikan pembacaan prinsip Rukun Negara sebagai aktiviti harian seramai 77,000 kanak-kanak dididik mereka selepas menyanyikan lagu Negara Ku dan Ibu Pertiwiku.

“Pemantauan saya pagi tadi, didapati semua 172 tadika perpaduan dan sebanyak 74 tadika SeDidik di negeri ini sudah pun melaksanakannya,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya tapi mewajibkan pembacaan prinsip itu setiap hari bagi semua kanak -kanak taska dan tadika di negeri ini dan hanya mencadangkannya kepada institusi terbabit kerana kanak-kanak cepat belajar dan akan amat berkesan mendidik mereka mengingati prinsip Rukun Negara.—DayakDaily