Kementerian Pendidikan cuba selesaikan masalah sekolah bergelap dalam masa terdekat

Dr Maszlee Malik (photo sourced from https://www.moe.gov.my)

KUCHING, Julai 15: Kementerian Pendidikan Malaysia memandang serius masalah beberapa buah sekolah di kawasan luar bandar di Sarawak yang terputus bekalan diesel hingga menyebabkan sekolah berkenaan bergelap.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kementeriannya sedang berusaha menyiasat dan menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.

Jelas beliau, perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat pasca-kabinet Rabu lepas.


“Saya ingin maklumkan bahawa kebajikan guru dan murid adalah keutamaan pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sehingga itu saya mohon semua bersabar dan berdoa untuk keselamatan guru dan murid kita yang terlibat,” katanya dalam satu status Facebooknya hari ini.

Maszlee menambah, beliau akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Antara sekolah yang terjejas adalah sekolah-sekolah di daerah Kapit, Song dan Belaga. — DayakDaily