Kementerian Kebajikan mencatatkan peningkatan prestasi kewangan untuk 2019

Fatimah (berdiri atas tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KWKPK 2019.

KUCHING, 12 Ogos: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) yang mencatatkan prestasi kewangan kurang memuaskan dalam Pengauditan Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiliti 2018) dapat menambahbaikkan prestasi itu tahun lepas.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ini berdasarkan hasil pemeriksaan pasukan Inspektoriat Kewangan dari Jabatan Perbendaharaan Negeri pada Disember 2019 yang mendapati kementerian tersebut telah mencapai 82 peratus pematuhan kepada prosedur kewangan.

“Kementerian juga telah mengambil tindakan pembetulan terhadap penemuan pasukan inspektoriat dan memastikan ketidakpatuhan tidak berulang pada masa hadapan,” katanya ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KWKPK 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.


Fatimah berkata satu sesi audit oleh Unit Audit Dalaman, Jabatan Ketua Menteri telah dijalankan selama dua minggu bermula 26 Jun 2020 dan laporan hasil auditnya masih belum diterima oleh kementerian itu.

“Kami berharap untuk mengekalkan rating yang baik dan berterusan menambahbaik pengurusan kewangan kami,” katanya.

Selepas mendapat prestasi pengurusan kewangan yang tidak memuaskan dalam Indeks Akauntabiliti 2018, beliau telah mengarahkan setiausaha dan membuat intervensi konkrit untuk menambah baik sistem pengurusan di kementerian itu.

“Saya juga telah menetapkan sasaran lima bulan bermula 25 Julai 2019 untuk melaksanakan pembaikan dalam pengurusan aset dan stor, pengurusan kewangan, perolehan dan perbelanjaan,” katanya.

Katanya langkah lain turut dilaksanakan seperti meningkatkan kompentensi dan profesionalisme pegawai yang bertanggungjawab dan menguruskan kewangan dan perakaunan.

Di samping itu, pihaknya juga mengkaji semula dan menambahbaik Prosedur Operasi Standard kewangan sedia ada untuk mengukuhkan ‘check and balance’ dan melaksanakan tindakan pencegahan melalui bimbingan dan peringatan secara berterusan kepada pegawai terutama yang terlibat dalam transaksi berisiko tinggi.—DayakDaily