Kematian seorang lelaki di BDC masih disiasat

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

KUCHING, 7 Ogos: Seorang lelaki berusia sekitar 40an ditemui mati di dalam sebuah rumah di Taman BDC, di sini hari ini.

Menurut sumber, kejadian tersebut disedari oleh orang awam dipercayai saudara mara mangsa yang kemudian terus melaporkan kepada pihak polis pagi tadi.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak juga dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu membuka pintu rumah mangsa.


Mangsa selepas diperiksa kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah semasa dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu siasatan masih dijalankan.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian tidak menemui sebarang elemen jenayah dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat. — DayakDaily