Kemalangan dan kematian meningkat sepanjang Ops Selamat Ke-18 Aidilfitri berbanding tahun 2019

Mancha semasa bercakap dalam sidang media tersebut.

KUCHING, 9 Mei: Sebanyak 563 kemalangan dilaporkan sepanjang Ops Selamat ke-18 sempena Hari Raya Aidilfitri yang diadakan dari 29 April hingga 8 Mei di seluruh negeri.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata jumlah tersebut juga menunjukkan peningkatan sebanyak 84 kes iatu bersamaan 17.5 peratus berbanding Ops Selamat ke-15 sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2019.

Katanya, kemalangan maut antara yang turut mencatatkan peningkatan sepanjang operasi tersebut diadakan.


“Dari segi jumlah kes kemalangan maut turut meningkat dengan merekodkan sejumlah 11 kes berbanding tujuh kes pada Ops Selamat 15 yang lepas iaitu meningkat empat kes atau 57.1 peratus.

“Jumlah kematian juga meningkat sebanyak lima kematian atau bersamaan dengan 71.4 peratus iaitu sebanyak 12 kes kematian sepanjang Ops Selamat 18/2022 berbanding tempoh yang sama pada Ops Selamat 15 yang lepas iaitu sebanyak tujuh kematian,” katanya dalam satu sidang media sempena penutupan Ops Selamat ke-18, di Pusat Media IPK Sarawak hari ini.

Jelasnya juga, mengikut statistik, pengguna motosikal adalah golongan yang paling ramai terkorban dalam kemalangan jalan raya dengan jumlah seramai sembilan orang.

“Ini dikuti oleh pejalan kaki seramai dua orang dan seorang pengguna kereta,” katanya.

Sementara itu, Mancha turut mendedahkan kebanyakan punca kemalangan adalah kecuaian pemandu sendiri yang gagal mengawal kenderaan semasa memandu serta memandu laju tanpa mematuhi had laju yang ditetapkan sehingga terbabas.

“Kecuaian semasa memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat juga menjadi punca sehingga berlakunya pertembungan yang membawa maut,” katanya.

Dedahnya juga sebanyak 10,251 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya yang ingkar undang-undang lalu lintas sepanjang Op Selamat 18.

Disamping itu, PDRM juga memberi tumpuan kepada kempen rumah selamat dan pencegahan jenayah pecah rumah iaitu ke atas rumah-rumah yang ditinggalkan semasa penghuni pulang bercuti.

Menurut beliau, PDRM membuat rondaan berkala bagi memastikan premis dan rumah-rumah kediaman yang ditinggalkan itu berada dalam keadaan selamat dari sebarang pelakuan jenayah.

“PDRM Kontinjen Sarawak telah menerima sebanyak 351 Laporan Balik Kampung daripada orang awam yang meninggalkan rumah.

“Sepanjang tempoh ini tiada sebarang laporan pecah rumah dilaporkan berlaku melibatkan rumah-rumah yang dilapor ditinggalkan sepanjang tempoh Ops Selamat 18,” katanya.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Bingkok John bersama timbalannya DSP Mathew Manggie. — DayakDaily