Kawasan letak kereta Stadium Sarawak sebagai sukan lumba permotoran?

Fadillah Sulaiman

KUCHING, 9 Mei: Kelab Permotoran D1 memohon kepada pihak kerajaan agar memberi kawasan letak kereta di Stadium Sarawak bagi tujuan sukan lumba permotoran.

Setiausahanya Fadillah Sulaiman berkata, pihaknya sedia berjumpa dan berbincang bagaimana untuk menggunakan kawasan tersebut sebagai lokasi peminat lumba motosikal.

“Dalam kalendar kami, Cub Prix akan diadakan sebanyak 4 ke 5 siri dan lokasi bermula dari Kuching, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.


“Manakala Drag Bike Race akan diadakan setiap bulan. Itulah perancangan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Fadillah, kerajaan sepatutnya melihat sukan permotoran sebagai salah satu sumber pendapatan untuk negeri dan juga mengawal perlumbaan haram di sekitar bandaraya.

Beliau berharap, pada awal tahun 2023 satu perubahan berlaku dengan kembalinya sukan permotoran seperti Cub Prix dan Drag Bike Race.

Katanya, ia mampu dicapai menerusi kerjasama diantara Kelab Permotoran D1, pihak agensi kerajaan dan Persatuan Sukan Permotoran Sarawak (SMA).

“Bidang penganjuran sukan permotoran adalah satu cabang untuk riadah dan juga perniagaan kepada penganjur, pengunjung dan untuk penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi peringatan kepada peminat-peminat lumba Permotoran agar tidak melakukan perlumbaan haram di jalanraya. — DayakDaily