Keluarga OKU mohon bantuan sara hidup dan rawatan dialisis untuk isteri

Wan (kanan) menyampaikan bantuan kepada Liew yang lumpuh dan terlantar atas katil.

KOTA SAMARAHAN, Jun 20: Kos sara hidup yang semakin meningkat kini menghimpit kehidupan pasangan suami isteri yang menetap di Asajaya dekat sini sehingga menyebabkan mereka kadang-kadang terpaksa menyatu makanan setiap hari.

Lebih menyedihkan, si suami, Liew Thian Soong, 48, adalah orang kurang upaya (OKU), manakala isterinya pula, penghidap sakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis setiap minggu.

Tidak cukup dengan itu, ibu kepada salah satu pasangan itu pula disahkan cacat penglihatan akibat menghidap kencing manis kronik.


Kepayahan hidup keluarga Liew itu kemudian mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Harapan Kuching atau lebih dikenali sebagai Hope Place yang telah mengunjungi keluarga tersebut.

Pengasas Hope Place, Kelvin Wan berkata, selepas menerima maklumat berhubung keperitan hidup keluarga berkenaan, Hope Place segera melakukan kunjungan ke Asajaya bagi memberi bantuan segera.

Katanya, Hope Place hanya mampu memberi bantuan kepada keluarga Liew yang lumpuh dalam tempoh enam bulan sahaja disebabkan peruntukan yang agak terhad.

“Setakat ini, Hope Place telah membantu lebih daripada 200 keluarga miskin dalam meringankan beban kehidupan mereka.

“Sehubungan itu, saya merayu kepada orang ramai supaya tampil membantu keluarga ini atau menyalurkan sumbangan kepada Hope Place untuk diagihkan semula kepada golongan yang memerlukan,” katanya hari ini.

Wan menambah, Liew merupakan pemegang kad OKU kini hanya terlantar atas katil telah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.

Bagaimanapun katanya, bantuan tersebut tidak mencukupi bagi Liew menampung perbelanjaan tiga lagi anaknya serta membiayai rawatan perubatan isterinya.

“Jadi, orang ramai yang sudi membantu boleh menghubungi Hope Place di talian 013-567 2775 atau 082-505987 untuk maklumat lanjut.

“Orang ramai yang prihatin dan berhasrat menghulur bantuan juga boleh berbuat demikian dengan membuat sumbangan ikhlas ke akaun Maybank (5112-8900-1160),” katanya. — DayakDaily