Program eKelas memberi manfaat kepada pelajar luar bandar

Robert (kiri) dan Bong (tengah) meneliti kemahiran pelajar mengunakan komputer bagi mengikuti program eKelas di pusat Internet Kampung Tebelu, Sebuyau, hari ini.

SEBUYAU, Jun 20: Syarikat telekomunikasi, Maxis Berhad (Maxis) setakat ini sudah menyediakan program eKelas ke sebanyak 13 pusat Internet dimiliki Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di kawasan luar bandar seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Robert Nason berkata demikian dengan 13 pusat Internet terbabit terletak di sekitar bahagian Kuching, Miri dan Sibu, pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 boleh mendapat akses program eKelas di pusat terbabit secara percuma bagi membantu mereka belajar matapelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Ketika ini Sarawak adalah negeri yang paling banyak mempunyai pusat Internet dibawah SKMM yang ada program eKelas disediakan Maxis,” katanya selepas bersama warga media melawat ke Pusat Internet Kampung Tebelu bagi menyaksikan program eKelas, di sini, hari ini.

Robert (kiri) melawat pelajar yang mengikuti program eKelas di pusat internet Kampung Tebelu, Sebuyau, hari ini.

Dalam lawatan itu yang juga disertai Ketua Wilayah Sarawak Maxis, Alex Bong, pelajar di pusat Internet Kampung Tebelu menunjukkan bagaimana eKelas membantu pembelajaran mereka dengan tutorial langsung matapelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris melalui persidangan video dari Kuala Lumpur, dan demontrasi eCikgu iaitu platform perbualan secara langsung dimana pelajar dapat berinteraksi dengan guru dan bertanya soalan serta-merta.

Robert berkata Maxis adalah syarikat pertama membawa pembelajaran digital ke pusat Internet luar bandar negara ini dengan program eKelas yang bermula dua tahun lepas dan kini program terbabit sudah berjalan di sebanyak 54 pusat Internet SKMM di seluruh negara.

Robert (tengah) bersama pelajar yang mengikuti program eKelas di pusat Internet Kampung Tebelu, Sebuyau, hari ini.

“Ini membolehkan kami sehingga kini dapat membantu seramai 4,000 pelajar luar bandar di seluruh negara ini bagi mempelajari tiga matapelajaran yang penting itu mengunakan teknologi digital,” katanya.

Kata pihaknya kini mula menerima permintaan bagi menambah bilangan pusat Internet dengan program eKelas di negeri ini, menambah matapelajaran yang diajar program itu dan memperluaskan program kepada murid sekolah rendah, Tingkatan 4 dan 5. — DayakDaily