Kelewatan pengembalian hak MA63, rakyat Sarawak semakin kecewa

Dato Peter Minos

KUCHING, 16 Nov: Datuk Peter Minos berpendapat semakin ramai rakyat Sarawak bertambah kecewa dengan kerajaan pusat Pakatan Harapan berkenaan tuntutan negeri dalam pengembalian kuasa mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan itu percaya ramai rakyat negeri ini rasa terkilan dengan pendirian kerajaan pusat yang dipercayai “terus memberi pelbagai alasan” terhadap tuntutan negeri termasuk royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus berdasarkan pengeluaran.

Ujar beliau, perasaan rakyat Sarawak terbabit juga diluahkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika ucapan pengulungannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.


“Beliau (Abang Johari) sebenarnya meluahkan semua kekecewaan dirasai semua orang Sarawak dalam berurusan dengan kerajaan pusat Pakatan dan Kuala Lumpur.

“Orang Sarawak sudah berulang kali meminta kuasa negeri ini dikembalikan dibawah MA63 tetapi masih tiada jawapannya. Begitu juga permintaan berulang Sarawak bagi diberikan royalti 20 peratus dari pengeluaran minyak dan gas negeri ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Peter berkata setakat ini, orang Sarawak hanya mendengar pelbagai alasan dari Putrajaya yang menyebabkannya tidak dapat melayan dua tuntutan terbabit.

“Terdapat juga banyak isu kecil lain yang telah mengecewakan orang Sarawak. Sementara menghulurkan tangan persahabatan dengan kerajaan pusat Pakatan, ianya agak jelas ianya telah ditolak,” anggapnya.

Beliau juga berkata, antaranya, apabila Sarawak mengenakan cukai lima peratus terhadap produk petroleum dalam Bajet 2019 seperti yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri ini, namun ada suara tidak bersetuju mengenainya telah didengari dari Putrajaya.

“Terdapat juga sebahagian projek kerajaan pusat di negeri ini ada yang kecil dan ada agak besar yang sebelum ini sudah diluluskan, tetapi sekarang ini telah ditolak pembiayaannya dan akibatnya dibatalkan dan terbengkalai,” katanya.

Disamping itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menurutnya sehingga sekarang masih menunggu pendaftarannya diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), dan kesemua ini menambah kekecewaan orang Sarawak, beliau menambah. — DayakDaily