Kelab malam, pub tidak dibenarkan beroperasi dalam Fasa 4 PPN Sarawak

Aktiviti kelab malam atau pub kekal tidak dibenarkan setelah Sarawak memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara hari ini. Foto: Pixabay

KUCHING, 3 Jan: Aktiviti kelab malam atau pub kekal tidak dibenarkan setelah Sarawak memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi Prosedur Operasi Standard (SOP) berkata, ia kekal di dalam senarai negatif.

Turut di dalam senarai negatif ialah aktiviti pusat hiburan yang tidak memenuhi syarat lesen yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Turut di dalam senarai negatif ialah aktiviti massa secara terbuka yang melibatkan pergerakan dan perkumpulan ramai yang menyukarkan penjarakkan sosial fizikal dalam satu-satu masa.

“Ia seperti fun run, fun ride, marathon, trialthon Dan sebagainya tanpa kelulusan Kementerian Belia Dan Sukan Sarawak (KBSS),” katanya.

JPBNS turut tidak membenarkan apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakkan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan. ― DayakDaily