Nanta: Pelan Pemulihan Negara pemangkin pertumbuhan ekonomi domestik

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 16 Jun: Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi yakin strategi Pelan Pemulihan Negara dapat meningkatkan kembali ekosistem perdagangan domestik.

Katanya, ia khususnya kepada para peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran di mana aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dan berfokus.

“KPDNHEP juga telah memulakan program vaksinasi untuk barisan hadapan ekonomi dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).


“Ini setelah beberapa libat-urus dilaksanakan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan pemain industri sektor perdagangan dan pengedaran.

“Ia adalah penting sebagai persiapan pembukaan ekonomi yang akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada semalam telah membentangkan Strategi Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa.

Menurut Nanta lagi, semua pemain industri menyokong sepenuhnya dan telah bersetuju mengikuti program ini di mana sekarang sedang dalamperingkat pendaftaran penyertaan.

Data tersebut katanya akan diserahkan kepada CITF untuk merangka pelanpelaksanaan termasuk keperluan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan logistik.

“Sasaran suntikan dari 150,000 vaksin sehari kepada 300,000 sehari akan memberikan impak yang lebih positif, mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok.

“Ia akan membuka lebih banyak sektor ekonomi dalam keadaan selamat dan ini boleh dicapai dengan penyertaan swasta termasuk komuniti perniagaan.

“Dijangka sektor ini akan mencapai tahap imuniti kelompok sekitar September 2021,” ujar Nanta.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian telah merancang beberapa aktiviti ekonomi bermula dari jangka masa tersebut terutama KempenBeli Barangan Malaysia, Program Jualan Malaysia, Program Francais Domestik samada di peringkat kebangsaan mahupun negeri. — DayakDaily