Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 martabat sukan silat — Abdul Karim

Abang Johari (dua kiri) merasmikan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023. Turut kelihatan Abdul Karim (tiga kiri).

KUCHING, 27 Feb: Edisi Sulung Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 dijadikan sebagai medan di dalam mengangkat martabat warisan dan seni budaya silat di Sarawak.

Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, melalui penganjurannya  silat bakal dimartabatkan ke peringkat global.

“Peranan Sarawak dan Persatuan Rumpun Silat Sarawak (RSS) menganjurkan kejuaraan ini bagi menyediakan pendedahan kepada peserta kita di peringkat antarabangsa.


“Kejuaraan seperti ini tidak mudah dianjurkan, justeru saya mahu semua peserta memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Perasmian Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 di Stadium Perpaduan malam ini.

Majlis telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Seramai 500 pesilat yang terdiri daripada 21 kontinjen dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Belanda, Filipina, Indonesia dan Kyrgystan akan berkampung di Kuching.

Pesilat akan berentap merebut ganjaran lumayan sebanyak USD 20,000 serta tali pinggang kejuaraan yang pertama kali diperkenalkan bermula hari ini sehingga 5 Mac ini. — DayakDaily