Kedai terbakar dipercayai gara-gara bakar sampah

Anggota Bomba memastikan kebakaran tersebut telah padam sepenuhnya.

KUCHING, 12 Ogos: Gara-gara bakar sampah, rumah kedai pula yang turut terbakar dalam satu kejadian di Kampung Telaga Air, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 12.29 tengah hari tadi.

Katanya, kebakaran dipercayai berpunca daripada pemilik kedai tersebut yang dikatakan membakar sampah berdekatan rumah kedai tersebut.

“Berlaku kebakaran rumah kedai satu tingkat jenis kekal telah terbakat 25 peratus disebabkan pemilik membakar sampah berdekatan rumah kedai miliknya sendiri.

“Kebakaran menyebabkan kerosakan pada struktur dinding dan atap serta peralatan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelansya juga, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan oleh beberapa anggota RELA.

“Api berjaya dipadam pasukan RELA yang berada di tempat kejadian menggunakan air paip sebelum ketibaan pasukan Bomba,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut. — DayakDaily