Keahlian GPS perlu dibuka untuk disertai PSB, kata penganalisa politik

File photo of Jeniri speaking to the press.

KUCHING, Jan 9: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu membuka keahlian gabungan tersebut bagi disertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Penganalisa politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Professor Madya Dr Jeniri Amir berkata demikian berikutan GPS sekarang ini tidak boleh mengabaikan parti tempatan lain yang mahu menyertai gabungan itu dan perlu bersikap inklusif.

“Lebih lagi sekarang UPP (PSB) ada seramai lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jadi dalam politik baru, GPS tak boleh amalkan amalan usang lama di BN. Langkah terbaik ialah untuk menerima UPP (PSB),” katanya bila ditemubual selepas menghadiri majlis pelancaran logo dan lagu GPS di Ibupejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, Petra Jaya di sini, hari ini.


Jeniri berkata ketika ini ada antara ADUN dalam PSB ketika ini malahan menjadi anggota menteri penuh dan menteri muda dalam kabinet kerajaan negeri GPS.

Katanya penyertaan PSB dalam GPS akan bukan sahaja memperkukuh lagi gabungan itu tapi tetapi akan juga memastikan para pengundi dan masyarakat kaum Cina keseluruhannya terus bersama-sama GPS.

“Saya juga percaya GPS akan diterima oleh masyarakat. Slogan ‘Utamakan Sarawak’ menunjukkkan bahawa gabungan parti ini utamakan kepentingan Sarawak, mengambil kira kepentingan rakyat Sarawak dan masa depan Sarawak dari segi politik sosial, ekonomi dan pembangunan,” katanya.

Mengenai logo GPS, Jeniri berkata logo dengan bentuk burung kenyalang itu adalah pilihan yang baik kerana burung itu sudah dikenali ramai rakyat Sarawak.

“Ini mengambil kira unsur Sarawak dan burung kenyalang adalah spesis burung dilindungi dan ini mengambarkan GPS merupakan parti yang dapat melindungi kepentingan Sarawak,” katanya.

Manakala pemilihan slogan GPS ‘Utamakan Sarawak’ pula, beliau berkata itu begitu bermakna dari segi mengambarkan perjuangan parti itu mempertahankan hak Sarawak dibawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang bukan sahaja penting kepada kelangsungan parti itu tetapi juga kelangsungan rakyat Sarawak dalam Persekutuan Malaysia di masa depan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Snowdan Lawan berkata sebelum ini pihaknya sudah memberikan petunjuk logo GPS akan berbentuk burung kenyalang kepada penduduk luar bandar termasuk ketua kaum dan mendedahkan ramai gembira dengan pemilihan haiwan itu.

Snowdan (kiri) ditemubual media di majlis pelancaran logo dan lagu GPS di ibupejabat PBB, Jalan Bako, Petra Jaya.

“Tetapi mereka (penduduk luar bandar) tidak tahu bentuk sebenar logo terbabit; disebabkan itu sebaik sahaja Ketua Menteri selesai melancarkan logo itu tadi, saya terus memasukkan gambar logo dan butirannya dalam WhatApps supaya mereka dapat melihatnya,” katanya, yang juga yakin logo itu boleh diterima penduduk luar bandar negeri ini sebagai lambang GPS. — DayakDaily