KUCHING, 15 Mac: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Eric Chang Wei Jie, 4 tahun yang memasuki hari ketiga hari ini diperluaskan lagi kawasan pencariannya di Muara Tebas.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata operasi dimulakan dari jam 9 pagi dengan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Katanya, operasi hari ini turut disertai pasukan anjing pengesan (K9) dan Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU).
“Usaha pencarian ditingkatkan lagi dengan pasukan K9 turut digerakkan ke lokasi bagi terlibat operasi pencarian kanak-kanak yang hilang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, sekitar jam 10.40 pagi tadi, operasi terpaksa ditangguhkan disebabkan faktor cuaca dan keselamatan.
“Hujan lebat telah menghadkan penglihatan pasukan SAR serta atas faktor keselamatan,” katanya.
Operasi SAR dilancarkan di Muara Tebas sejak Ahad kerana dipercayai mangsa telah dibunuh dua suspek dan mayatnya dibuang ke sungai di Muara Tebas.
Bagaimanapun siasatan lanjut polis masih dijalankan. — DayakDaily